Ads by Nuffnang

Thursday, March 8, 2012

Gaji, COLA naik


Gaji, COLA naik
Oleh Johari Ibrahim dan Haika Khazi
bhnews@bharian.com.my
2012/03/09


NAJIB memberi ucapan pada Perhimpunan Khas Kakitangan Awam dengan Perdana Menteri di PICC, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail
PM umum pemansuhan SBPA, Sistem Saraan Malaysia ditambah baik

PUTRAJAYA: Berita gembira buat 1.4 juta kakitangan awam apabila kerajaan semalam mengumumkan pelarasan gaji tujuh hingga 13 peratus bagi semua gred penjawat awam, selain kenaikan Elaun Sara Hidup (COLA).
Dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung melalui TV1 dan TV3, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut mengumumkan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diperkenalkan 1 Januari lalu tetapi banyak menimbulkan kontroversi, dibatalkan.
Kerajaan memutuskan penggajian kakitangan awam dikekalkan di bawah sistem Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang akan ditambah baik.

Pelarasan gaji berdasarkan Jadual Gaji Matriks (JGM) SSM itu menyaksikan Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Pelaksana Gred 1 hingga 54 menikmati pelarasan sebanyak 13 peratus.

Gred Utama dan Gred Khas C, B dan A akan menikmati pelarasan sembilan peratus, Turus III dan II (lapan peratus) dan Turus I serta Ketua Setiausaha Negara (tujuh peratus).

Selain itu, kadar COLA bagi kawasan B (di antara bandar dan pedalaman) dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan, manakala untuk kawasan C (pedalaman) daripada RM100 kepada RM150.
Pelarasan gaji itu berkuat kuasa 1 Januari lalu yang mana penjawat awam akan menerima gaji tertunggak. Difahamkan, gaji baru akan dibayar sama ada akhir bulan ini atau bulan depan.

Ia antara tujuh keputusan diumumkan Perdana Menteri pada perhimpunan khas Penjawat Awam Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang dihadiri 15,000 penjawat awam, semalam.

Najib berkata, kerajaan faham SBPA mengundang keresahan, terkilan dan perasaan tidak puas hati dalam kalangan penjawat awam walaupun ia komited untuk mempertimbangkan semakan semula, pelarasan gaji atau satu bentuk saraan baru bagi menggantikan SSM pada tahun ini.

“Sebagai kerajaan yang merasai denyut nadi mereka (penjawat awam), sebagai kerajaan yang mendengar keluh kesah penjawat awam menerusi wakil mereka, CUEPACS, maka kita mengambil keputusan pada 12 Januari lalu supaya struktur saraan baru yang diperkenalkan, dikaji semula,” katanya.

Perdana Menteri berkata, keputusan yang diambil kerajaan itu adalah berdasarkan kepada saranan CUEPACS berkaitan saraan penjawat awam serta implikasi kewangan kerajaan yang mungkin terbabit.

“Anggota perkhidmatan awam adalah tiang seri keramat kerajaan, sebaik mana pun dasar digubal, betapa manfaat pun dasar digubal, ia tidak akan bermakna jika pelaksanaannya tidak berkesan atau tidak cekap (kerana) peranan penjawat awam sebagai pelaksana dasar adalah amat penting,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan peka dan prihatin dengan isu saraan yang dibangkitkan oleh penjawat awam yang menyaksikan semakan semula gaji perkhidmatan awam secara berkala dan yang terakhir dilakukan pada 2007 membabitkan kenaikan gaji antara 7.5 peratus hingga 35 peratus.

Najib berkata, dalam membuat keputusan, kerajaan perlu memikirkan langkah terbaik yang perlu mendahulukan kepentingan rakyat, tetapi pada masa sama faktor lain terutama keupayaan kewangan kerajaan, tidak diketepikan.

“Kerajaan amat mengharapkan kefahaman dan kerjasama penjawat awam untuk bersama-sama mengharungi dan mendepani cabaran ekonomi global yang tidak menentu walaupun kita telah berjaya mengeluarkan negara daripada gelora ekonomi global," katanya.

INFO: Keputusan lain yang diumumkan Perdana Menteri


  • Penubuhan suruhanjaya dianggotai oleh semua pihak berkepentingan mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia yang bukan saja membabitkan saraan, tetapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam yang diperlukan negara pada masa depan.
  • Struktur gaji SSM akan diubah suai daripada Jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-Maksimum dengan kadar kenaikan gaji tahunan (KGT) bagi gred 1-54 ditetapkan di antara RM80 hingga RM320 mengikut gred. KGT bagi JUSA dan ke atas kekal menggunakan KGT SSM dengan pelarasan ikut peratus ditetapkan.
  • Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) dikekalkan.
  • Kerajaan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya bagi guru berasaskan prinsip ‘time-based’ Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti diumumkan dalam Bajet 2012.
  • Friday, February 24, 2012

    NEWS

     

    Najib umum SBPA batal, SSM ditambahbaik


    2012/03/08

    PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diperkenalkan pada 1 Januari lalu dibatalkan dan sistem saraan kembali kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

    Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan itu pada majlis Perhimpunan Khas Penjawat Awam bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, sebentar tadi.
    =======================================================


    Kerajaan naikkan kadar COLA kepada RM250, RM150


    2012/03/08

    PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju Elaun Bantuan Sara Hidup (COLA) bagi kawasan B dan C masing-masing dinaikkan kepada RM250 dan RM150 sebulan. 

    Sebelum ini, COLA bagi kawasan B dan C masing-masing ditetapkan pada kadar RM200 dan RM100
    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan itu pada majlis Perhimpunan Khas Penjawat Awam bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, sebentar tadi.



    ========================================================

    Keputusan STPM diumumkan Rabu depan


    2012/03/01

    KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 akan diumumkan Rabu depan 7hb. Mac 2012.. Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam satu kenyataan di sini, hari ini berkata, calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai jam 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.
    Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM ResultNo.Kad Pengenalan dan hantar ke 15888.
    Menurut MPM, keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai jam 12 tengah hari pada tarikh tersebut.


    Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan pada tarikh yang sama pada jam 12 tengah hari di Dewan Besar, MPM, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.


    Tahun lalu 50,602 calon menduduki peperiksaan STPM. Daripada jumlah itu, 46,817 orang adalah calon sekolah kerajaan, 1,266 calon sekolah swasta dan 2,519 calon persendirian. - BERNAMA

    Wednesday, February 15, 2012

    STPM


    STPM dirombak
    Oleh Noor Azlina Zainudin dan Nas Norziela Nasbah
    upen@bharian.com.my
    2012/03/08

    DATUK Dr Mohd Noh Dalimin (empat dari kanan) beramah mesra dengan pelajar terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) selepas pengumuman keputusan semalam.
    DATUK Dr Mohd Noh Dalimin (empat dari kanan) beramah mesra dengan pelajar terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) selepas pengumuman keputusan semalam.
    Pentaksiran Berasaskan Sekolah dan peperiksaan akhir berpusat tentukan tahap kelulusan setiap calon

    SELAYANG: Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dirombak mulai tahun ini dengan keputusan atau markah yang diperoleh oleh calon akan ditentukan menerusi taksiran berasaskan sekolah dan peperiksaan berpusat.
    Pentaksiran akan menggunakan dua kaedah yang dilaksanakan sepanjang satu setengah tahun pengajian, iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan markah 20 hingga 40 peratus dan peperiksaan akhir berpusat yang mewakili markah 60 hingga 80 peratus untuk menentukan tahap kelulusan setiap calon.
    Penggunaan sistem taksiran baru itu dilaksanakan selaras dengan Program Transformasi Pendidikan dan salah satu usaha kerajaan memperkasakan program pendidikan Tingkatan Enam.

    Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, berkata menerusi sistem taksiran baru itu, tempoh pengajian Tingkatan Enam, penawaran dan sistem penggredan mata pelajaran masih sama seperti sebelum ini tetapi kandungan pengajian dipecahkan kepada tiga bahagian kurikulum untuk mengisi tiga penggal.

    “PBS diperkenalkan bagi meningkatkan kemahiran insaniah pelajar terdiri daripada tiga bentuk kerja kursus, iaitu projek atau tugasan, kerja amali dan kajian luar mengikut keperluan mata pelajaran. Ia akan diadakan setiap penggal atau penggal tertentu saja,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan STPM, di sini semalam.

    Beliau berkata, peperiksaan bagi menilai pencapaian pelajar akan diadakan setiap hujung penggal, iaitu penggal pertama pada November tahun pertama, manakala penggal dua dan tiga masing-masing pada Jun serta November tahun kedua pengajian. 
    “Keputusan peperiksaan akan dikeluarkan pada setiap penggal, manakala keputusan keseluruhan peperiksaan STPM dibuat berdasarkan gabungan keputusan bagi ketiga-tiga penggal,” katanya.

    Mohd Noh berkata, sistem itu bakal memberi kelebihan kepada pelajar kerana selain menitikberatkan pendidikan berasaskan hasil dan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan, mereka akan mempelajari kandungan kurikulum berbeza pada skala kecil dalam setiap penggal. 

    Justeru, pelajar boleh lebih fokus menghadapi pembelajaran dan mempunyai peluang lebih besar untuk melakar kecemerlangan.

    “Antara kelebihan sistem pentaksiran baru ini adalah pelajar boleh memperbaiki keputusan akhir setiap penggal dengan menduduki semula peperiksaan yang akan diadakan selepas keputusan peperiksaan penggal tiga dikeluarkan.

    “Ini adalah kali pertama MPM memperkenalkan PBS bagi hampir semua mata pelajaran. Ini adalah sejarah bagi MPM selepas terbabit dalam bidang pentaksiran selama 30 tahun dan diharap mampu memantapkan sistem penilaian agar lebih holistik serta menguntungkan pelajar,” katanya.